SEREMBAN: Pemuda AMANAH Negeri Sembilan mendesak semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar supaya mengosongkan kerusi mereka.
Ini kerana kata Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zainal Lutfi, kemenangan BN di beberapa kawasan adalah hasil usaha keras penggerak dan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, keputusan pimpinan PH-BN kelmarin yang menyatakan masih wujud kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan seolah menghina penggerak dan pengundi PH di negeri ini.
“Semua maklum, polemik yang berlaku kini adalah kerana ketamakan UMNO untuk mendapat jawatan Menteri Besar sehingga sanggup meruntuhkan kerajaan Perpaduan di negeri ini.
“Bahkan mereka membelakangkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang melantik dan menitahkan supaya Menteri Besar daripada PH untuk terus berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pengundi PH juga ingin mengingatkan beberapa kerusi Barisan Nasional (BN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas adalah kerana kerjasama dari parti komponen dan pengundi PH.
“Parti AMANAH sendiri mengorbankan kerusi Lenggeng yang pernah dimenangi kami pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk memberi laluan kepada BN bertanding dan BN menang.
“Keputusan pimpinan PH-BN untuk mengekalkan kerajaan Perpaduan ibarat menyimbah garam ke luka penggerak dan penyokong PH di Negeri Sembilan yang sudah sedia teruk dan dalam luka mereka.
“Adalah kerja gila untuk membuat kerjasama kembali dengan pihak yang secara jelas berkhianat.
“Mereka juga mendapat pelbagai kelebihan dari Menteri Besar sehingga ramai penggerak PH yang makan hati. Segala kelebihan itu akhirnya hanya dibalas tuba dan tikaman,” katanya.

Zainal berkata, hasil keputusan pertemuan pimpinan BN-PH juga lebih pelik apabila tiada satu tindakan atau hukuman kepada ADUN yang melakukan pengkhianatan.
“Permohonan maaf tidak cukup. Hukuman yang lebih tegas perlu diberikan kepada mereka jika ingin membina semula kerajaan Perpaduan.
“Jawatan-jawatan seperti ketua kampung dan ahli majlis dari BN perlu segera dikosongkan. Membiarkan pengkhianat untuk terus berada dalam kerajaan adalah kesilapan besar.
“PRN adalah salah satu penyelesaian yang boleh dipertimbang. Tetapi lebih baik ADUN terbabit mengosongkan kerusi mereka yang dimenangi dengan kerjasama PH.
“Laksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tiga penjuru untuk kesemua 14 kerusi itu. Biarkan pengundi yang tentukan nasib kerus terbabit. Jangan hukum kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lain kerana tindakan 14 ADUN itu,” katanya.
Justeru tegasnya, tiada rundingan dengan pengkhianat, tetapi jika mahu berunding, pihaknya meminta supaya memilih individu lain tanpa rekod khianat.
“Pilih orang muda yang berpotensi. Kami sudah mempunyai banyak pengalaman dengan orang tua dalam politik yang 1,001 masalah,” katanya.
Foto kredit pembaca