SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan sedang menjalankan beberapa siasatan berhubung laporan polis berkaitan kandungan di media sosial membabitkan kemelut yang melanda negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini seramai 49 individu dipanggil untuk diambil keterangan.
Jelas Alzafny, kandungan di media sosial berkenaan dilihat berpotensi menimbulkan provokasi, keresahan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun
Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Sehingga hari ini, sebanyak 49 keterangan sudah dirakam dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alzfany memaklumkan, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Sehubungan itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3R, khususnya melalui media sosial.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negeri.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
“Kami turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan sikap matang semua pihak dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.
Gambar hiasan hasil Ai