SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan akan meneruskan tanggungjawab dan tugasnya seperti biasa.
Perkara itu dimaklumkan pada sidang media susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepadanya.
Aminuddin berkata, beliau sudah mempersembahkan mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tengah hari tadi.
Baginda katanya, menitahkan supaya pentadbiran semasa diteruskan seperti biasa.
Mengulas lanjut kata beliau, lima kerusi exco daripada ADUN BN akan dikosongkan susulan penarikan sokongan kepada pentadbirannya itu.
Aminuddin turut memaklumkan tidak melihat keperluan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan buat masa ini.
Turut sama hadir pada sidang media, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.
Anthony dalam masa sama berkata, barisan Exco daripada DAP menegaskan sokongan terhadap kepimpinan negeri di bawah Aminuddin.