SEREMBAN : Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan Perikatan Nasional (PN) mengumumlam kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri.
Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan negeri terus berjalan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
“Kami lima ADUN PN mengikuti perkembangan krisis kepimpinan kerajaan negeri yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
“Kami mewakili rakyat Negeri Sembilan berasa kesal kerana krisis ini menjejaskan keberkesanan pentadbiran sehingga Sidang Dewan Undangan Negeri terpaksa ditangguhkan tanpa tarikh baharu,” katanya pada sidang akhabar di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Mohamad Hanifah turut menyerahkan surat kerjasama kepada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong.
Beliau berkata, situasi itu membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal menangani krisis berkenaan secara bertanggungjawab demi rakyat Negeri Sembilan.
“Krisis ini bertambah meruncing apabila 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hanifah menegaskan bahawa lima ADUN PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda utama perjuangan mereka.
Terdahulu, seramai 14 ADUN BN hari ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengumuman itu sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.