SEREMBAN: Seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di 17 lokasi termasuk di sebuah restoran terkemuka di Seremban 2, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi bermula pada jam 10 pagi semalam sehingga jam 1.30 pagi tadi.
“Dalam operasi ini seramai 128 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 66 PATI yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Jumlah yang ditahan adalah 61 lelaki dan lima wanita. Dalam operasi ini kami memeriksa sebuah restoran yang agak terkenal di Seremban 2 dan menahan 13 daripada 34 pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pecahan warganegara bagi tangkapan semalam adalah dua wanita Indonesia, lima lelaki warga Nepal, 13 lelaki dari Pakistan, 17 lelaki warga Bangladesh, dua dari Sri Lanka (1 lelaki, 1 wanita), 16 lelaki warga Myanmar dan 11 warga India (9 lelaki, 2 wanita).
Jelas Kennith, ketika operasi dijalankan, tiada sebarang insiden yang tidak dingini berlaku dan PATI tidak dapat meloloskan diri kerana kesemua laluan sudah dikepung pasukan operasi.
Tambahnya, operasi ini dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam kepada JIMNS serta risikan selama seminggu.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Tegasnya, JIMNS menyeru orang ramai supaya tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negara ini.
“Selain daripada mengambil tindakan terhadap PATI, JIMNS juga akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Gambar/ video kredit JIMNS