SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM5,000 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat.
Ia dipercayai sebagai balasan memudahkan urusan tuntutan bayaran interim pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan bangunan sebuah sekolah di negeri ini.
Perintah reman selama empat hari sehingga 11 April 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira jam 5.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2024 dan telah menerima wang rasuah secara tunai dalam mata wang Euro kira-kira €1,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Video/ gambar kredit SPRM Negeri Sembilan