SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan tidak mengesan aktiviti penyeludupan atau penyelewengan bahan api di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Negeri Sembilan, Faizah Binti Othman berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan bagi berhubung pelbagai salah laku membabitkan bahan api berkenaan.
“Pihak kami komited melaksanakan pemeriksaan kawal selia bekalan barang kawalan petrol dan diesel.
“Sebanyak 124 pemeriksaan stesen minyak seluruh di Negeri Sembilan sudah dibuat susulan penguatkuasaan Larangan Penjualan dan Pembelian Petrol Ron 95 kepada kenderaan motor asing bermula dari 1 April lalu,” katanya hari ini.

Jelasnya, sepanjang pemeriksaan itu, pihaknya mendapati tiada sebarang isu bekalan dan kes dihasilkan ke atas mana-mana orang atau syarikat berkaitan larangan berkenaan.
“Objektif pemeriksaan ini adalah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dan perundangan boleh dikenakan ke atas penjual dan pembeli petrol RON 95 yang tidak mematuhi peraturan itu serta mengurangkan ketirisan dan memperkukuh integriti tadbir urus subsidi,” katanya.

Tambahnya, pihak pengusaha stesen minyak diingatkan supaya mematuhi larangan Pembelian dan Penjualan Petrol Ron 95 kepada kenderaan motor asing seperti mana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol Ron95) 2026.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan bagi memastikan para peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.