SEREMBAN : Pengasuh ‘Baby Syifaa’ atau Nour Rania Asyifaa Yuseri akhirnya dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dituduh melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi itu di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, empat tahun lalu.
Hakim N.Kanageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, pada prosiding keputusan kes tersebut.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh jatuh hukum hari ini dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara empat bulan.
Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan selepas keluar dari penjara.
Pihak pendakwaan diwakili Penolong Pengarah Pendakwaan Negeri, Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam, S.Kavittha.
Turut hadir ibu kanak-kanak tersebut Anida Idrus, 44, serta bapanya, Yuseri Yusoff, 42.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini, media melaporkan pada 31 Julai 2024, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan disebabkan tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.
#nogoripost #babysyifaa #pengasuh #pengabaian