SEREMBAN: Bermula daripada basikal, kereta tolak dan kini menggunakan kenderaan saji. Kini usia Cendol Bawah Pokok Pasar Besar Seremban sudah mencecah enam dekad.
Lebih unik, pasangan suami isteri ini masih mengekalkan cara lama menggunakan penyagat ais.
Mohan T Kadeer Mohaideen, 61, berkata, perniagaan cendol itu dimulakan bapanya pada 1960-an sebagai sumber pendapatan keluarga dengan menggunakan basikal.
“Sewaktu zaman kanak-kanak, saya selalu ikut bapa menjual cendol dan waktu itu harganya hanya 20 sen.
“Kemudian sejak 30 tahun lalu, saya mengambil alih kerana ayah sudah tidak kuat dan saya mula berniaga menggunakan kereta tolak,” katanya ketika ditemui.
Mohan berkata, sejak 2020, dia dan isteri, M Anjaly, 59, mula berniaga menggunakan lori saji.
“Saya juga masih menggunakan resipi sama seperti diajar bapa iaitu perlu ada campuran tiga jenis gula seperti gula enau, melaka dan merah.
“Saya tidak ubah apa-apa pun kerana mahu mengekalkan rasanya, selain resipi rahsia iaitu isi cendol yang dibuat sendiri,” katanya.
Tambahnya, dia berniaga setiap hari kecuali pada Isnin dan Selasa dan jualannya mencecah lebih 300 mangkuk atau bungkusan cendol sehari dengan menggunakan tujuh hingga 10 kilogram santan.
Bercerita mengenai penggunaan alay penyagat ais yang dianggap kaedah tradisional, dia berkata, jika pelanggan tidak ramai, saya menggunakan penyagat kerana lebih selesa berbanding menggunakan mesin pengisar.
Pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai kaum yang mana sama-sama duduk di bangku dan menikmati ais cendol mencerminkan muhibahnya Malaysia.