
SEREMBAN : Siapa sangka rendang maman yang sinonim dengan masakan tradisional Negeri Sembilan boleh disatukan dengan piza, sekali gus menghasilkan gabungan rasa unik yang mencuri perhatian penggemar makanan.
Idea kreatif itu diterjemahkan seorang usahawan muda, Izzatul Aisyah Yahya, 23, yang mengangkat hidangan warisan negeri ini menerusi penghasilan piza rendang maman.
Lebih istimewa, di sebalik usaha mengembangkan perniagaan makanan itu, anak sulung daripada lima beradik berkenaan turut berkongsi kemahiran membuat roti dan piza dengan kanak-kanak berkeperluan khas menerusi aktiviti sensori.
Menurut Aisyah, idea menghasilkan piza rendang maman tercetus daripada resipi ibunya, Siti Hawa Solehah Alias, 43, yang sering menyediakan hidangan tradisional itu untuk keluarga.
Katanya, pada awalnya gabungan rendang maman dengan makanan Barat itu turut menimbulkan keraguan, termasuk daripada ibunya sendiri.
“Pada mulanya saya sendiri terfikir, boleh ke rendang maman digabungkan dengan piza? Mak pun pernah persoalkan kenapa hendak rosakkan rendang maman dengan makanan Barat.
“Tetapi saya tetap cuba kerana mahu menghasilkan ‘topping’ yang luar biasa. Apabila orang makan, mereka diam kerana sedap. Daripada situ saya yakin gabungan ini boleh diterima dan menjadi sesuatu yang unik,” katanya ketika ditemui di gerainya, Aisyah Story Pizza, di Arked Senawang di sini.
Beliau berkata, proses menghasilkan piza berkenaan bukan sekadar menggabungkan dua jenis makanan, sebaliknya memerlukan penelitian bagi memastikan rasa asli rendang maman tidak tenggelam.
Jelasnya, rendang maman dimasak sendiri menggunakan maman, cili api kampung dan santan sebelum dijadikan ‘topping’ piza.
“Rendang maman ini ada rasa tersendiri. Pedasnya membuatkan kita mahu makan lagi dan tidak terlalu muak.
“Saya mahu apabila pelanggan makan piza ini, mereka masih dapat rasa rendang maman yang biasa dinikmati, tetapi dalam bentuk yang berbeza,” katanya yang turut dipilih sebagai Usahawan Ikon KEMAS Negeri Sembilan 2026.
Piza rendang maman itu dijual pada harga RM59.90 bagi saiz sembilan inci, manakala saiz enam inci berharga RM29.90.
Selain menyediakan piza segar, Aisyah turut menawarkan produk sejuk beku bagi membolehkan pelanggan menikmati hidangan berkenaan di rumah.
Mengimbas permulaan penglibatannya dalam bidang bakeri, Aisyah berkata, minat itu mula bercambah ketika berusia 16 tahun selepas bapanya menghantarnya mengikuti kursus pembuatan roti dan pastri.
Pengalaman membantu ibu bapanya berniaga sejak kecil turut menjadi antara faktor yang mendorongnya membina perniagaan sendiri.
“Saya mula buat piza ketika berusia 17 tahun. Pada awalnya hanya lima biji dari rumah, kemudian meningkat sehingga 100 biji.
“Ayah yang banyak memberi galakan supaya saya cuba berdikari dan membangunkan jenama sendiri,” katanya.
Menurutnya, beliau kini mengusahakan kedai yang mula beroperasi sejak November 2025 dengan menawarkan kira-kira 10 jenis piza, termasuk piza satay ayam dan Asian beef piza.
Di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan, Aisyah turut meluangkan masa berkongsi kemahiran pembuatan roti dan piza dengan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk autisme, menerusi aktiviti sensori di sebuah tadika.
Jelasnya, aktiviti itu dijalankan dengan kerjasama guru tadika berkeperluan khas bagi memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka tekstur, bentuk dan kemahiran asas menggunakan tepung serta bahan pembuatan piza.
“Saya ajar mereka aktiviti sensori menggunakan tepung dan menyediakan ‘topping’ seperti pepperoni.
“Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, aktiviti seperti ini boleh menjadi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.
Tambah Aisyah, pengalaman tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk terus mengembangkan usaha berkaitan pendidikan dan aktiviti untuk kanak-kanak berkeperluan khas pada masa akan datang.
Bagi Aisyah, usaha mengembangkan perniagaan bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya menjadi ruang untuk berkongsi kemahiran, kreativiti dan manfaat kepada masyarakat.