Bangkit jual nasi lemak, ayam goreng RM1 ketika PKP

SEREMBAN: Usahawan muda ini bangkit daripada dibuang kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 pada 2020 dengan memulakan perniagaan menjual nasi lemak di jalanan.

Seolah merasai kesempitan yang dihadapi orang lain di saat sukar itu, Roszaimee Rasul, 32, memperkenalkan nasi lemak RM1 dan ayam goreng rangup RM1.

Pemuda yang lebih dikenali dengan panggilan Zaimee berkata, dia bermula daripada berniaga di bawah khemah sehingga kini menggunakan kenderaan saji dan mempunyai lesen secara sah.

“Ketika PKP saya dibuang kerja, jadi untuk meneruskan kehidupan saya mula menjual nasi lemak RM1 dengan ayam goreng RM1 dengan isteri di lokasi ini sejak lima tahun lalu.

“Saya memilih konsep ini kerana berpendapat semua orang boleh merasai untuk membeli nasi lemak dan ayam goreng dengan harga yang berpatutan, saya rasa tidak ramai yang buat macam ini,” katanya ketika ditemui.

Roszaimee berkata, setiap hari dia menjual kira-kira 40 kilogram (kg) ayam dan 800 hingga 1,000 bungkus nasi lemak.

“Syukur kerana konsep yang diperkenalkan ini mendapat sambutan. Malah, sebenarnya nasi lemak dan pelbagai kuih di sini dibuat oleh orang lain, saya hanya jual untuk bantu mereka.

“Ayam goreng sahaja yang saya goreng sendiri dan jual secara panas-panas,” katanya yang pernah bekerja sebagai penyelia tapak projek.

Lokasi perniagaan Zaime di hadapan Nasi Kandar Angau, Garden Homes, Seremban 2 dan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 11 pagi. Sokonglah anak muda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *