SEREMBAN : Memiliki kereta mewah bernilai lebih RM1 juta bukan alasan untuk pemiliknya mengambil mudah soal pematuhan undang-undang apabila sebuah Lamborghini Huracan dikesan dipandu tanpa cukai jalan selama enam bulan.
Kenderaan milik seorang ahli perniagaan lelaki berusia 40-an itu antara 301 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Ops Luxury bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu berkata, pemilik Lamborghini berkenaan gagal memperbaharui cukai jalan bernilai RM35,764 dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau, pemilik memberikan alasan terlepas pandang dan mendakwa sudah menyerahkan wang kepada ejen untuk menguruskan pembaharuan cukai jalan.
“Apabila JPJ menghubungi ejen mereka, alasan diberikan ialah kecuaian dan cukai jalan masih belum diperbaharui.
“Terlepas pandang dalam tempoh tiga bulan masih boleh diterima, tetapi jika sudah setahun, kesalahan ini memang ketara dan bahaya kerana memandu tanpa cukai jalan,” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury di sini hari ini.
Jasyindar berkata, selain Lamborghini, kenderaan mewah lain yang disita termasuk Ford Mustang, Jeep Wrangler Sahara, Mini Countryman dan Toyota Alphard, termasuk milik ahli perniagaan bergelar Datuk dan Datuk Seri.
Katanya, sebanyak 301 kenderaan mewah disita sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 105 peratus berbanding 90 kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kenderaan disita hanya boleh dibawa keluar selepas pemilik memperbaharui cukai jalan serta perlindungan insurans dan JPJ tidak akan berkompromi terhadap pihak yang culas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan turut mendapati terdapat pemilik kenderaan mewah menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran ‘fancy’ serta meletakkan nombor pendaftaran dalam keadaan tersorok atau terlindung.
Jelasnya, JPJ Negeri Sembilan turut memandang serius kesalahan membabitkan bukan warganegara Malaysia.
“Sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, seramai 274 pesalah bukan warganegara dikesan dengan pesalah tertinggi dari Pakistan iaitu 111 orang, diikuti Indonesia (73) dan Bangladesh (49).
“Antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen sah,” katanya.