Hanya Aminuddin sudah pulang peruntukan penuh

SEREMBAN: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun satu-satunya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang sudah memulangkan keseluruhan RM150,000 peruntukan bagi bulan Julai hingga September diarahkan kerajaan negeri semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkannya berdasarkan rekod diterima pejabatnya.

Beliau berkata, semakan mendapati sebahagian wakil rakyat dan penyelaras DUN PH Negeri Sembilan lain turut berbuat demikian namun bukan dalam amaun penuh ditetapkan.

“Setakat ini, hanya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sudah memulangkan keseluruhan peruntukan diterima.

“Memang ada sudah pulangkan tetapi mungkin tidak sepenuhnya seperti disalurkan. Mungkin sudah digunakan untuk bantuan kepada rakyat dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Ismail mengarahkan 17 ADUN PH dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan terdahulu memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Beliau berkata, tujuh wakil rakyat bertaraf Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, 10 ADUN biasa (RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September) dan dua penyelaras DUN (RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September).

Ismail berkata, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sedang meneliti rekod peruntukan tersebut.

Beliau berkata, surat tuntutan akan dikemukakan kepada setiap wakil rakyat dan penyelaras DUN yang masih mempunyai tunggakan baki peruntukan yang masih belum dipulangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *