SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tarikh perbicaraan penuh kes aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, 48, atas pertuduhan menerbitkan hantaran menghasut di platform media sosial berkaitan Institusi Diraja Negeri Sembilan bermula pada 15 hingga 17 Februari tahun depan.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Tasnim Abu Bakar selepas pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan rasmi.
Permohonan itu dikemukakan berikutan penyerahan dokumen-dokumen penting kes yang telah lengkap dan sedia untuk diteliti oleh pihak pembelaan.
Peguam bela tertuduh, Mohd Hanif Hassan mengesahkan bahawa pihak pembelaan telah menerima satu set dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan.
Antara dokumen utama yang diserahkan termasuklah rakaman percakapan rasmi tertuduh yang diambil semasa siasatan dijalankan.
Selain itu, fail kes tersebut turut memuatkan gambar-gambar tempat kejadian serta salinan digital akaun Facebook milik tertuduh yang menjadi subjek utama pertuduhan.
Mohd Hanif menyatakan pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap tarikh perbicaraan yang dipilih oleh mahkamah.

Walau bagaimanapun, beliau mendedahkan rancangan untuk mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan bagi memohon pertimbangan semula ke atas pertuduhan tersebut selepas penelitian dokumen selesai.
Pada 25 Jun lalu, tertuduh dengan nama sebenar Badrul Hisham Baharin, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut, antaranya: ‘Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja’afar sah merupakan Yang di-Pertuan Besar Ke-12. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan’ di aplikasi Facebook menerusi akaun Chegu Bard.Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada jam 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.