Lelaki warga Bangladesh dituduh bunuh 3 rakan senegara

SEREMBAN: Lelaki warga Bangladesh, Md Idris Ali, 43, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh tiga rakan senegaranya awal bulan ini.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nurul Saqinah memutuskan supaya jurubahasa asing dipanggil untuk membacakan semula ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh selepas mendapati lelaki itu sukar memahami pertuduhan dalam Bahasa Malaysia.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos 2026 bagi pertuduhan dibacakan semula terhadap tertuduh melalui jurubahasa asing dalam bahasa yang difahaminya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Md Nozrul Islam, Mohasin dan Kiron Miah, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong belakang rumah berhampiran Taman Linggi dan sebuah ladang sawit di Sua Manggis, Port Dickson antara 3.30 petang hingga 4 petang.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sehingga 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *