Siti Nur Umaira optimis mampu rampas semula DUN Labu

SEREMBAN : Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hasim optimis gelombang sokongan terhadap parti itu semakin dirasai menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, sekali gus memberi keyakinan untuk merampas semula kerusi berkenaan.

Siti Nur Umaira, 36,berkata, memasuki minggu terakhir kempen, pendekatan secara bersemuka dengan pengundi terus dipergiat bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat selain mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan lancar. Sekarang kita lebih fokus kepada pendekatan berdepan dengan pengundi supaya dapat menyantuni mereka dengan lebih dekat dan penerimaan yang diterima juga amat baik,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Labu.

Mengulas mengenai sejarah DUN Labu yang pernah dimenangi BN sebelum beralih kepada PKR dan kini disandang Bersatu, Siti Nur Umaira berkata, rakyat kini lebih matang dalam menilai prestasi setiap parti.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah itu, walaupun BN tidak memenangi kerusi itu sejak dua penggal lalu, beliau percaya kerja keras jentera dan sambutan positif sepanjang tempoh berkempen mampu mengembalikan sokongan rakyat.

“Sepanjang musim berkempen ini, penerimaan yang kita lihat agak positif. Saya rasa gelombang biru sudah mula dirasai di Labu dan ramai yang mahu melihat BN kembali mentadbir kawasan ini,” ujarnya.

Siti Nur Umaira yang juga satu-satunya calon daripada Puteri UMNO pada PRN kali ini mengakui pencalonannya merupakan satu cabaran, namun beliau mahu membuktikan golongan itu juga mampu memimpin dengan berkesan.

“Di Labu belum pernah ada calon wanita muda. Memang ia mencabar, tetapi saya mahu yakinkan pengundi bahawa wanita muda juga mampu menjadi pemimpin yang baik dan membawa perubahan kepada kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil bertemu pengundi dari kampung ke kampung dan kawasan taman perumahan mendapati setiap lokaliti mempunyai isu berbeza yang memerlukan penyelesaian mengikut keutamaan.

Siti Nur Umaira yang juga anak jati Labu berkata, antara isu yang dikenal pasti ialah keperluan menambah kemudahan pendidikan berikutan pertambahan penduduk selain masalah infrastruktur seperti sistem perparitan yang menyebabkan beberapa kawasan sering dilanda banjir.

“Fokus utama saya nanti adalah menyelesaikan isu infrastruktur termasuk masalah perparitan dan banjir di beberapa kawasan selain melihat keperluan penambahan sekolah kerana kapasiti penduduk semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nur Umaira turut menghargai sokongan jentera Puteri UMNO dari seluruh negara yang berkampung di Negeri Sembilan sepanjang tempoh kempen bagi membantu calon-calon BN menghadapi PRN kali ini.

Katanya, kehadiran Ketua Puteri UMNO Malaysia bersama jentera dari pelbagai negeri menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk terus bekerja keras sehingga hari pengundian.

Kerusi DUN labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Siti Nur Umaira dengan calon penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker (Bersatu) dan Datuk Ahmad Faez Abdul Razak (PH).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *