SEREMBAN: Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan dan kedudukan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal.
Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu ditetapkan selepas Dewan berkenaan mengadakan sidang khas, semalam.
“Tiada proses yang sah pernah menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti memegang jawatan itu dan baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan.
“Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut. Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana tiga daripada penandatangan tidak memegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing.
Ini kerana katanya, Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar setelah siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Syarat itu adalah mandatori. Tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar.
“Proklamasi 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal,” katanya.
Menurutnya, tindakan enam individu berkenaan boleh dianggap sebagai derhaka di sisi adat dan undang-undang.
Menurutnya, empat daripada individu berkenaan didakwa tidak memegang jawatan atas nama mereka telah menandatangani dokumen terbabit.
“Tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September 2026 dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang.
“Ini kerana empat daripada mereka tidak memegang jawatan berkenaan, menandatangani surat cara penurunan Yang di-Pertuan Besar tanpa siasatan menurut Perkara X(1) UUTKNS 1959, menyalahgunakan gelaran jawatan dan mengeluarkan arahan tidak sah kepada pegawai kerajaan,” katanya.
Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perbuatan enam individu tersebut.