Seremban: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,100, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zairil Nor Azman, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai tadbir bahagian pentadbiran yang bertugas di sebuah yayasan menerima wang tanpa balasan berjumlah keseluruhan RM20,100 daripada dua lelaki berbeza.
Wang berkenaan diterima melalui pindahan
atas talian yang telah didepositkan ke dalam
akaun bank milik tertuduh yang mana tertuduh tahu kedua-dua lelaki itu ada perhubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank Senawang, di sini, dari Januari hingga November 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, boleh dipenjara selama tempoh sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syairah Aqilah Khalil mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.
Peguam Hanif Idris yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.
Sebutan semula pada 28 Ogos depan.