Sindiket pinjaman palsu sasar warga China tumpas di Kuala Pilah

KUALA PILAH : Sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai menyediakan perkhidmatan pinjaman tidak wujud kepada mangsa warga China berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Dioh, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah hari, 29 Jun lalu seramai  19 lelaki telah ditahan termasuk 18 warga China manakala seorang lelaki tempatan.

Alzafny berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sungai Dua.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan berbangsa Cina bersama seorang penumpang lelaki warga China.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemui dua telefon bimbit dan satu alat kawalan jauh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Alzafny, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tinggal dan bekerja di sebuah premis di kawasan perindustrian Dioh.

“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit yang dirampas turut menemui beberapa bahan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian,” katanya.

Jelas beliau, bertindak atas maklumt kira-kira pukul 2 petang hari yang sama,  pihak polis telah menyerbu premis tersebutdl yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang menyasarkan mangsa warga China.

“Hasil serbuan seramai 17 lelaki warga China telah ditahan dan rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan, antaranya komputer riba, mesin pencetak, telefon bimbit, buku dan satu set kertas skrip.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *