SEREMBAN : Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin bersama DKU memulakan prosiding komital terhadap enam plaintif selepas mendapati wujud kes prima facie bahawa mereka didakwa melanggar perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan sebelum ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Roz Mawar Rozain selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak menerusi prosiding yang berlangsung secara penstriman langsung pada 7 dan 8 Julai lalu.
Prosiding komital berkenaan difailkan susulan dakwaan pelanggaran perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lalu berkaitan pertikaian melibatkan DKU Negeri Sembilan.
Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan Raja Norazli selaku defendan pertama bersama DKU sebagai defendan kedua berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi memperoleh kebenaran memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap kesemua enam plaintif.
Mereka ialah Datuk Mubarak Dohak, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashid, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah, Dato’ Sedia Raja Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Menerusi perintah injunksi itu, kesemua plaintif dilarang mengadakan, memanggil, meneruskan atau menghadiri mana-mana mesyuarat DKU, termasuk Sidang Khas yang diumumkan pada 5 Jun 2026.
Mereka juga dilarang menggantung, menyingkir atau menghalang Raja Norazli daripada menjalankan fungsi serta tanggungjawabnya sebagai Setiausaha DKU sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, plaintif turut dilarang menubuhkan atau melantik mana-mana jawatankuasa atau individu bagi mengambil alih kuasa serta fungsi Setiausaha DKU, termasuk bertindak atau mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak DKU.
Perintah sama turut menghalang mereka daripada membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran, tadbir urus dan hal ehwal DKU, selain mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengubah atau mengganggu status quo sebagaimana sebelum 21 Mei 2026.
Dalam keputusan sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding komital tersebut.
Mahkamah menetapkan permohonan substantif bagi prosiding komital itu didengar pada 28 Julai ini.
Pihak plaintif diwakili peguam Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Datuk Firoz Hussein, Woo J. Enn, Asmawi Ismail dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Raja Norazli dan DKU pula diwakili peguam Steven Thiru, Shafrin Halim serta Gurjeevan Singh Sachdev.