Pekerja syarikat air didakwa tipu dua wanita lebih RM100,000

SEREMBAN : Tindakan seorang pekerja syarikat pembekal air yang didakwa menipu dan memperdayakan dua wanita sehingga kerugian lebih RM100,000 mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Rashid Sidek, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Norsalihah Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu seorang wanita berusia 38 tahun dengan memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan wang sebanyak RM96,500.

Mangsa dikatakan tidak akan membuat pembayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Berikutan itu, Mohd. Rashid didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lagi wanita berusia 34 tahun sehingga mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM12,000 ke akaun bank miliknya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di Taman Nada Embun dan Taman Nilam Sari di sini dalam tempoh antara 30 Disember 2025 hingga 4 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Ideris dan J.G. Vesvanathan yang masing-masing mencadangkan jaminan RM6,000 dan RM5,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Ng Yunn Yiing yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minimum dengan alasan lelaki itu hanya memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan, telah berkahwin serta mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 6 dan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *