TAMPIN: Remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol seorang lelaki yang baru dikenalinya tiga hari lalu di sebuah pondok dekat kebun di Gemas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihak polis telah terima satu laporan berkaitan kes itu pada jam 1.45 tengah hari semalam.
“Seorang remaja perempuan bawah umur dikatakan telah dirogol seorang lelaki yang dikenali di sebuah pondok kawasan Gemas.
“Suspek dikatakan telah mengambil mangsa di rumahnya di Gemas, kira-kira jam 4 pagi semalam dengan menaiki motorsikal lalu membawa mangsa sehingga ke kawasan kebun dan telah merogol mangsa di sebuah pondok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dan mangsa yang tidak bersekolah baru berkenalan selama tiga hari.
Susulan itu katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tampin berjaya menangkap suspek di rumahnya di kawasan Gemas kira-kira jam 8.45 malam tadi.
“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun dan tidak bekerja. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman ke atas suspek telah diperolehi selama tujuh hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini mohon tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ameer Amzar atau Bilik Gerakan IPD Tampin di Hotline 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Gambar hiasan janaan AI