SEREMBAN : Pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Sembilan wajib memenuhi syarat minimum 40 jemaah mengikut mazhab Syafie yang muktamad, selain perlu mendapat keizinan pihak berkuasa agama negeri.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, penjelasan itu dibuat susulan penyebaran surat Jabatan Mufti Negeri Sembilan bertarikh 21 April 2026 berhubung hukum pelaksanaan solat Jumaat dengan jumlah jemaah kurang daripada 40 orang di Kediaman Rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut beliau, surat berkenaan dikeluarkan bagi menjawab persoalan hukum syarak yang dikemukakan oleh pemohon beralamat di Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Beliau berkata, jawapan itu berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (Khas) Bilangan 1/2026 yang bersidang pada 27 Mac lalu.
“Ahli Jawatankuasa Fatwa telah meneliti dan mempertimbangkan pelbagai hujah serta dalil daripada kitab-kitab fiqh muktabar ulama mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki melalui disiplin ilmu fiqh dan Usul al-Fiqh.
“Jawapan berkenaan tidak mempunyai sebarang niat atau kaitan dengan isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Faudzinaim menegaskan, berdasarkan kaedah pelaksanaan hukum syarak serta konteks undang-undang Syariah yang berkuat kuasa di negeri ini, solat Jumaat hendaklah didirikan dengan kehadiran sekurang-kurangnya 40 jemaah mengikut mazhab Syafie yang muktamad.
Menurut beliau, setiap keputusan berkaitan hukum syarak dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri menerusi perbincangan mendalam dengan berlandaskan disiplin keilmuan Islam sebelum sesuatu hukum atau fatwa dikeluarkan.
Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan berkenaan tidak disalahertikan sehingga mengheret institusi Mufti dan kefatwaan negeri ke dalam kemelut yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mendoakan agar kemelut berkenaan dapat diselesaikan secara harmoni, selain institusi diraja dan adat di negeri ini sentiasa dilindungi serta diberkati Allah SWT.
Faudzinaim turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, serta Institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.