SEREMBAN : Istana Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung bermula esok.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, kehadiran ke mesyuarat berkenaan tidak memerlukan jemputan, selain Tuanku Muhriz tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz juga tidak menerima jemputan menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting).
“Bagaimanapun, Tuanku Muhriz memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri mesyuarat berkenaan bagi memberikan tumpuan kepada urusan negeri, termasuk Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” katanya.
Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara itu kepada mana-mana pihak atau media sebelum ini.
Terdahulu, beberapa laporan media mendakwa Tuanku Muhriz dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung ketika krisis institusi diraja Negeri Sembilan masih berlarutan sejak April lalu.
Menurut laporan The Straits Times Singapura, Sultan Nazrin yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan dari esok hingga 15 Oktober telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.
Laporan itu turut mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan ke mesyuarat berkenaan, termasuk melalui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Krisis institusi diraja negeri itu tercetus susulan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar selepas Tunku Nadzaruddin diisytiharkan sebagai pemerintah baharu oleh empat individu yang mendakwa mempunyai kuasa berbuat demikian.