SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menarik diri daripada menganjurkan Labu Endurance Run 2026 yang dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.
Begitupun program larian anjuran Hijo Running Club, Outdoor & Sports Events Management itu tetap akan diteruskan mengikut jadual tanpa penglibatan MBS.
MBS berkata, penarikan diri tersebut berikutan situasi jerebu yang semakin memburuk di bandar raya ini.
“Bacaan IPU semasa pada 7.30 lagi, hari ini mencatat 154 iaitu tidak sihat untuk sebarang aktiviti luar.
“Sehubungan itu, MBS menarik diri daripada menganjurkan Labu Endurance Run 2026 yang dijadual diadakan di Balai Raya Kampung Gadong SC Lama, Labu, di sini, pada 17 dan 18 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, penganjur Labu Endurance Run 2026 iaitu Hijo Running Club, Outdoor & Sports Events Management tetap memutuskan untuk meneruskan program larian itu berikutan komitmen logistik dan penjadualan yang telah dirancang.
MBS berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kemalangan, kecelakaan atau kerugian disebabkan penyertaan dalam program berkenaan.
Penganjur juga diingatkan agar tidak meletakkan sebarang imej, logo dan apa sahaja berkaitan dengan MBS bagi program ini.