SEREMBAN : Ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak menjejaskan persediaan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 27 November depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dipanggil untuk menghadiri sesi konsultasi belanjawan pada bulan ini.
Menurut beliau, sesi berkenaan penting bagi mendapatkan pandangan wakil rakyat dalam proses penyediaan belanjawan negeri.
“Belanjawan tidak semestinya memerlukan kewujudan Exco kerana penyediaannya dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan negeri.
“Kebiasaannya, bajet itu kita bawa kepada Exco untuk kelulusan, sebaiknya kita bentangkan dulu.
“Tapi boleh juga, dalam keadaan biasa, bajet yang disediakan oleh jabatan-jabatan ini akan kita bawa terus kepada Dewan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan Penggal 2026–2028.
Mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ismail berkata, sidang yang sebelum ini dijadualkan pada 16 Oktober ini akan ditangguhkan sehingga akhir November depan.
Beliau berkata, persidangan berkenaan dijangka dirasmikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 26 November depan, sebelum pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pada 27 November 2026.
“Selepas itu, sidang akan diteruskan dengan sesi perbahasan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, keputusan berhubung pengisian kekosongan jawatan Exco masih belum diputuskan dan perkara itu akan diteliti berdasarkan keadaan semasa.
“Belum tahu lagi, tengok keadaan. Kita tahu keadaan itu bila tiba masanya,” katanya.
Menurut beliau, ketiadaan Exco ketika ini tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri kerana urusan berkaitan portfolio masing-masing masih dilaksanakan oleh jabatan kerajaan.
“Sekarang ini ketua-ketua jabatan memainkan peranan untuk memastikan perjalanan kepentingan jabatan dan apa yang ada di bawah portfolio Exco berjalan seperti biasa,” katanya.