Screenshot
SEREMBAN : Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mencabar pembatalan pelantikan mereka di mahkamah sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Aminuddin berkata, beliau terkejut apabila kesemua bekas Exco itu mengambil tindakan memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Sembilan, malah turut menuntut kos daripada kerajaan.
“Saya terperanjat apabila 10 mantan Exco kerajaan Negeri Sembilan memfailkan saman kepada kerajaan negeri, kerajaan mereka sendiri dan juga menuntut kos daripada kerajaan.
“Ini merupakan satu perkara yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
“Saya tak tahu bagaimana ia boleh berlaku, siapa yang menasihati mereka dan akhirnya mengundang banyak perkara yang sepatutnya telah diselesaikan lebih awal,” katanya menerusi perkongsian video di laman Facebook beliau.
Kenyataan itu susulan tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco kerajaan negeri.
Kesemua plaintif memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September lalu sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.
Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Saman berkenaan difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan dinamakan sebagai defendan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu dan menghormati pembentukan kerajaan baharu hasil gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, keputusan pilihan raya berkenaan merupakan mandat yang perlu dihormati oleh semua pihak.
“Saya menerima keputusan pilihan raya dan saya menghormati pembentukan kerajaan baharu.
“Ini adalah mandat yang diberikan oleh rakyat dan kita perlu menghormatinya,” katanya.
Mengulas perkembangan berkaitan, Aminuddin turut menegaskan beliau tidak mahu dituduh memberi nasihat atau menyampaikan maklumat yang tidak betul berhubung isu berkenaan.
Sebaliknya, beliau meminta rakyat menilai sendiri perkembangan yang berlaku dan menentukan sama ada tindakan tersebut munasabah.
“Janganlah tuduh saya memberi nasihat, memberikan maklumat yang tidak betul tetapi lihatlah sendiri.
“Sebagai rakyat, sebagai penyokong, sebagai pendokong, apakah yang berlaku? Adakah ia munasabah untuk berlaku di Negeri Sembilan?” katanya.