Seremban: Pemilik akaun di TikTok memuatnaik satu video menunjukkan seekor beruang matahari berada di kawasan perumahan dekat Taman Tuanku Ja’afar, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku tengah malam Ahad lalu ketika lelaki berkenaan dikatakan sedang melepak sebelum terdengan bunyi tapak kaki yang pada mulanya disangkakan perompak.
Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, tindakan memasang satu unit perangkap pada 21 September lepas dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai seekor beruang matahari yang merosakkan sarang madu kelulut diusahakan di dalam kem terbabit pada 19 September.

Menurutnya, kawasan perumahan itu berhampiran dengan hutan di kem berkenaan yang bersambung terus dengan Hutan Simpan Angsi yang menjadi habitat asal spesies hidupan liar tersebut.
“Setakat ini, status jantina beruang terbabit masih belum dapat dikenal pasti melalui pengecaman morfologi memandangkan haiwan itu belum memasuki perangkap.
“Bagaimanapun, kami baru sahaja menerima satu rakaman video terbaharu awal pagi ini yang memperlihatkan kelibat beruang berkenaan, kemungkinan kejadian itu berlaku semalam,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas mengenai kebimbangan penduduk memandangkan lokasi pemasangan perangkap itu terletak betul-betul bersebelahan kawasan perumahan Taman Taman Tunku Jaafar (TTJ), Wan Mat menegaskan pihaknya sedang mengambil tindakan segera.
“Pihak jabatan akan melaksanakan siasatan terperinci berkaitan aduan terbaharu ini. Sekiranya didapati beruang matahari itu masih berkeliaran dan menghampiri kawasan perumahan taman tersebut, kami akan mengalihkan kedudukan perangkap ke lokasi yang lebih strategik bagi memastikan ia dapat ditangkap dengan selamat,” katanya.
Gambar ihsan pembaca