SEREMBAN : Kedudukan empat Pembesar Memerintah Negeri Sembilan dipertikai dalam perutusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 4 Oktober lalu, sedangkan DKU sendiri sebelum ini mengiktiraf kedudukan mereka sehingga April 2026.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin berkata, dakwaan mengenai ketidaksahan kedudukan mereka hanya timbul selepas mereka melaksanakan prerogatif di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Menurut mereka, kedudukan itu turut disokong menerusi surat DKU bertarikh 7 Julai 2025 dan notis bertarikh 15 April 2026 yang dikeluarkan daripada pejabat sama.
“Perutusan 4 Oktober 2026 mahu orang ramai percaya bahawa empat orang Pembesar Memerintah itu bukan pemegang jawatan yang sah. Padahal DKU sendiri mengiktiraf mereka sehingga April 2026.
“Dakwaan itu hanya timbul selepas mereka bertindak di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka turut mempersoalkan prinsip yang digunakan dalam perutusan DKU dengan menegaskan institusi adat sepatutnya berpegang kepada teks UUTKNS 1959, rekod yang sah serta prinsip keadilan kepada semua pihak.
Namun, menurut mereka, ketiga-tiga perkara itu tidak dijawab dalam perutusan berkenaan.
“Perutusan itu gagal dalam ketiga-tiga perkara tersebut. Teks Perkara 10, 28 dan 29 tidak dijawab, minit sidang 17 April dan 31 Julai tidak ditunjukkan serta Undang yang diadukan tidak pernah didengar,” katanya.
Empat Pembesar Memerintah yang ditegaskan sebagai sah ialah Datuk Mubarak Dohak bagi Luak Sungei Ujong, Datuk Maarof Mat Rashad bagi Luak Jelebu, Datuk Muhammed Abdullah bagi Luak Johol dan Datuk Abdul Rahim Yasin bagi Luak Rembau.
Mereka mendakwa berdasarkan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, sebarang pertikaian berkaitan takhta perlu diputuskan oleh pihak berkuasa yang ditetapkan di bawah UUTKNS 1959, iaitu Undang Yang Empat.
“Undang Yang Empat telah membuat keputusan pada 19 April 2026 menurut Perkara 10 dan 29. Dokumen-dokumen asal DKU juga menyokong keputusan itu,” katanya.
Dalam pada itu, mereka mempertikaikan peranan DKU sebagai badan yang menentukan kedudukan Undang dengan merujuk Perkara 16 UUTKNS 1959 yang menurut mereka memberikan fungsi kepada Dewan untuk memberi nasihat berkaitan adat.
Menurut mereka, pemilihan dan penyingkiran Undang tertakluk kepada adat luak seperti diperuntukkan dalam Perkara 14, manakala persoalan pematuhan Undang terhadap Perkara 10 merupakan persoalan perlembagaan dan bukan semata-mata soal adat.
“Perkara 16(3) hanya menyebut nasihat tentang Pembesar Memerintah di bawah Perkara 14. Ia tidak menyebut penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar di bawah Perkara 10,” katanya.
Mereka turut mempersoalkan keputusan pada 31 Julai 2026 yang didakwa menganggap sabda berkenaan sebagai tidak sah, khususnya apabila badan yang membuat keputusan itu dipengerusikan oleh pihak yang menjadi subjek kepada sabda tersebut.
Sehubungan itu, mereka berpandangan fungsi DKU di bawah Perkara 16 tidak boleh mengehadkan atau mengatasi kuasa, prerogatif dan bidang kuasa Undang Yang Empat.
Hujah berkenaan turut dikaitkan dengan Perkara 79 UUTKNS 1959 yang antara lain mengekalkan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar serta Pembesar Memerintah, kecuali sebagaimana yang dinyatakan secara nyata dalam Undang-Undang Tubuh berkenaan.
Mereka turut merujuk Perjanjian 1898 yang dikatakan diulangi dan diperkukuhkan melalui Perjanjian 1934 sebagai antara kerangka asas pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk kedudukan Undang Yang Empat dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar.
Berhubung injunksi bertarikh 5 Jun 2026 pula, mereka menegaskan perintah itu hanya bersifat sementara atau ad interim dan belum memutuskan secara muktamad siapa Yang di-Pertuan Besar atau siapa yang memegang jawatan Undang.
Menurut mereka, perintah berkenaan bertujuan mengekalkan keadaan DKU seperti sebelum 21 Mei 2026 ketika Undang Yang Empat sedia ada masih menjadi anggota Dewan.