Screenshot
SEREMBAN : Pimpinan Negeri Sembilan perlu mempunyai pendirian yang jelas dalam mengurus negeri dan tidak membuat keputusan yang berubah-ubah, tegas mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin menerusi perkongsian ringkas di platform Threads mengingatkan kepimpinan negeri supaya berpegang teguh kepada pendirian serta tidak mudah terpengaruh dengan tekanan pihak tertentu.
“Jangan pula sekejap lain, sekejap lain. Kita tak boleh tak ada pendirian, hari ini lain, esok lain, macam apa ni.
“Ini bukan mengurus kedai runcit, ini mengurus negeri dan mesti ada pendirian. Tidak perlu kena tekan, jangan takut dengan manusia, takut kejujuran kita dengan Allah Taala,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran yang turut menyentuh kepentingan mempunyai ketegasan dalam membuat keputusan ketika mengurus pentadbiran negeri.
Dalam hantaran sama, Aminuddin turut mendoakan supaya Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan mencapai kemajuan.
Pesanan tersebut dibuat Aminuddin selepas beliau tidak lagi menerajui pentadbiran Negeri Sembilan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos lalu.