Popular Posts

Pengasuh tular sudah ditahan polis

SEREMBAN: Pengasuh wanita yang videonya tular sejak semalam kerana dirakam memaksa kanak-kanak duduk di luar bahagian belakang rumah dan memukulnya ditahan polis di rumahnya di Sendayan, di sini, malam tadi.

Warga emas berusia 60 tahun itu ditahan susulan maklumat yang diterima daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum pihaknya ke lokasi kejadian

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengenalpasti mangsa adalah anak mereka menerusi video yang tular.

“Kira- kira jam 8 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan berhubung kejadian penderaan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di Seremban sebelum disedari ibu bapa mangsa selepas melihat satu rakaman video berdurasi seminit 15 saat yang tular di media sosial” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alzfany berkata, rakaman video berkenaan memaparkan seorang wanita bertindak memukul seorang kanak- kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah dan mangsa dalam rakaman itu dikenal pasti kedua ibu bapanya.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya.

Jelas beliau lagi, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ujar beliau, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun kira-kira jam 9.45 malam di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan menasihatkan orang ramai suapaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan sisatan.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-6033222,” katanya.

Media semalam melaporkan tular video menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak diletakkan di luar bahagian belakang rumah dan dikatakan turut dipukul seorang wanita dipercayai pengasuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *