TAMPIN: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas dikatakan rebah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 0.2 Jalan Tampin- Gemas, dekat Pekan Tampin, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan sempat dirawat di Hospital Tampin, namun menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang lelaki tempatan berumur 65 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Baru, menghala ke Pekan Tampin.
“Penunggang Honda C70 itu dipercayai melawan arus dengan menggunakan bahu jalan di laluan bertentangan arah bagi menuju ke Pekan Tampin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu dikatakan rebah dan terjatuh di atas bahu jalan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Warga emas ini kemudiannya dibawa ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan awal. Bagaimanapun, pada 3.45 petang, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
“Mayatnya kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan jalan raya itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Imanul Hassan.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Gambar ihsan Polis