SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) diberi kemenangan percuma 3-0 ekoran kegagalan Kuala Lumpur (KL) City FC menurunkan pasukan pada aksi pertama Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini Sabtu lalu.
Jurucakap MFL berkata, KL City juga dikenakan denda RM50,000 atas kesalahan sama.
“Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL telah meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat dikemukakan pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 dikemukakan KL City.
“KL City didapati tidak menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal hingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap bagi aksi menentang NSFC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu aksi pertama Liga Super melibatkan NSFC dan KL City pada Sabtu lalu terpaksa dibatalkan saat akhir ekoran dakwaan 13 pemain dan dua pegawai skuad Ibu Kota didakwa dijangkiti wabak influenza.
NSFC yang tidak berpuas hati dengan permohonan KL City yang hanya dikemukakan beberapa jam sebelum sepak mula telah membuat bantahan rasmi.
Jurucakap MFL berkata ,hasil semakan sistem MyPAS mendapati KL City sebenarnya hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja iaitu 11 pemain dan seorang penjaga gol.
Sehubungan itu, beliau berkata, skuad Ibu Kota disabitkan tidak mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan.