SEREMBAN: Sebuah premis yang menjalankan proses membuat makanan haiwan menggunakan organ dalaman haiwan dikesan membuang sisa ke anak sungai di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini, sehingga menyebabkan bau kurang menyenangkan dalam kalangan penduduk.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin berkata, susulan aduan dan siasatan yang dijalankan, pihaknya melakukan serbuan ke premis berkenaan, kelmarin dan ia dikenakan tindakan sita serta kompaun.
“MBS menerima aduan mengenai pencemaran air sungai berbau busuk yang dikatakan mengganggu penduduk di Kampung Kayu Ara.
“Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS mengadakan siasatan dan menyita beberapa peralatan yang disyaki menjadi punca berlaku pencemaran bau sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Masri, pemeriksaan dijalankan dan mendapati bau busuk itu berpunca daripada premis berkenaan yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses organ dalaman haiwan untuk dijadikan makanan ikan.
“Hasil pemeriksaan premis itu turut mendapati ia dimiliki warga tempatan dan dikendalikan dua lelaki warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
“Manakala pemilik premis tidak berada di lokasi sepanjang pemeriksaan dijalankan dan ketika serbuan dijalankan didapati pekerja itu sedang membuang sisa cecair ke dalam anak sungai berhampiran,” katanya.

Justeru itu beliau berkata, tindakan penguatkuasaan serta merta diambil dengan mengeluarkan kompaun beroperasi tanpa lesen, sitaan ke atas seunit water compressor, seunit induction motor dan tiga fius.
“Selain itu, satu notis arahan memberhentikan operasi dan penutupan premis dikeluarkan dan ia ditampal di premis serta pita sita MBS direntang di premis.
“Tugasan pemeriksaan susulan juga dijalankan dan mendapati premis berkenaan mematuhi arahan notis iaitu menghentikan operasi serta warga asing juga tiada di lokasi.
“Ketika operasi dijalankan, agensi Jabatan Alam Sekitar (Unit forensik) dan Jabatan Imigresen Malaysia turut sama membantu,” katanya.

Gambar ihsan MBS