SEREMBAN: Inisiatif pemberian insentif bagi penyerahan anjing terbiar secara sukarela mendapat sambutan positif dengan lapan ekor haiwan itu mula diterima Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Datuk Bandar Seremban, Datuk Ir. Masri Baharuddin berkata, kesemua anjing terbiar terbabit telah dipasang mikrocip bagi tujuan rekod dan pengenapastian.
“Kelapan-lapan anjing terbiar yang diserahkan secara sukarela tersebut telah diberi kepada dua badan bukan kerajaan (NGO), Furrykids Safe Haven dan NS Happy Paws.
“Dua NGO ini diberi tanggungjawab untuk adopsi dan pengurusan sepanjang hayat anjing-anjing terbiar berkenaan,” katanya di sini semalam.
MBS menawarkan insentif wang tunai RM50 bagi seekor anjing dewasa dan RM25 seekor anak anjing bawah enam bulan kepada individu atau persatuan penduduk yang menyerahkan haiwan terbiar tersebut di sekitar bandar raya ini secara sukarela.
Masri berkata, NGO tersebut bertanggungjawab memastikan kebajikan anjing terbiar itu termasuk mendapatkan vaksinasi dan melaksanakan pemandulan.
Beliau berkata, Furrykids Safe Haven dan NS Happy Paws juga perlu memastikan anjing-anjing berkenaan tidak dilepaskan semula ke tempat awam.
“Tindakan perundangan boleh diambil terhadap NGO terbabit jika anjing-anjing terbiar tersebut ditemui semula MBS di tempat awam selepas ini,” katanya.
Kredit gambar : Facebook Majlis Bandaraya Seremban