
SEREMBAN : Kontinjen Negeri Sembilan menyasarkan 25 pingat emas pada SUKMA Selangor 2026, edisi ke-22 yang akan membuka tirai secara rasminya, esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mustapha Nagoor berkata, sasaran 25 pingat emas dibuat berdasarkan persiapan lebih rapi persatuan sukan dan barisan jurulatih Negeri Sembilan bagi menghadapi temasya kali ini.
Katanya, pencapaian atlet Negeri Sembilan harus lebih baik berbanding dua tahun lalu, ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026, di sini, hari ini.
Menurut Mustapha, acara seperti Akuatik, Polo, Berbasikal, Catur, E-sukan, Gimnastik, Golf, Kabaddi, Karate, kriket, Lawan Pedang, Menembak, Muay Thai, Olahraga, Ragbi, Sepak Takraw, Silambam, Sofbol, Taekwondo, Tinju dan Wushu.menjadi antara sandaran untuk meraih pingat emas.
“Dua tahun lepas, kita juara menembak dan merupakan acara yang menjadi penyumbang pingat emas terbanyak. Kali ini kita sasarkan empat pingat emas melalui acara menembak,” katanya.
Pada SUKMA 2024, Negeri Sembilan meraih 56 pingat keseluruhan, terdiri daripada 19 emas, 13 perak dan 24 gangsa.