Kedai emas dibaling cat merah

SEREMBAN: Sebuah kedai emas di Kawasan Perusahaan Senawang, di sini, dibaling cat merah dipercayai akibat rasa tidak puas hati, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, dalam kejadian itu dua individu dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melakukan perbuatan berkenaan.

“Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian sebuah kedai emas di Kawasan Perusahaan Senawang, yang
dipercayai disimbah cat berwarna merah pada awal pagi tadi.

“Suspek yang masih belum dikenal pasti dikesan berjalan kaki sebelum dipercayai membaling beberapa bungkusan plastik berisi cat merah ke arah bahagian hadapan premis berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kesan cat merah terkena bahagian lantai hadapan premis, pintu shutter, dinding serta papan tanda kedai.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Siasatan awal juga mendapati premis berkenaan pernah mengalami kejadian yang sama pada Mei lalu dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan salinan rakaman CCTV, mengenal pasti kamera CCTV lain di sekitar lokasi serta mengesan dan mengenal pasti suspek yang terbabit.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.” katanya.

Sebelum ini seorang lelaki mendakwa kedainya disimbah cat merah dipercayai mempunyai kaitan dengan hantarannya mengenai sebuah syarikat di laman sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *