SEREMBAN : MCA kembali mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan setelah berjaya menawan dua kerusi iaitu Chennah dan Rempah pada Pilhan Raya Negeri (PRN) semalam.
Tambah manis, calon MCA, Siow Kong Choon dan Koh Kim Swee masing-masing menjadi ‘giant killer’ menumbangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan S. Veerapan yang merupakan bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan.
Kong Choon yang juga Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan menewaskan Anthony Loke dengan majoriti 688 undi.
Veerapan pula ditewaskan Kim Swee dengan majoriti 444 undi.
Kong Choon dan Kim Swee berkemungkinan dilantik mengganggotai ahli majlis mesyuarat negeri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang baru mengangkat sumpah hari ini.
Kejayaan MCA merobohkan ‘tembok besar’ dibina DAP di DUN Negeri Sembilan itu amat bersejarah.
Sebelum ini, ADUN terakhir MCA di DUN Negeri Sembilan ialah Siow Chen Pin yang kebetulan merupakan ADUN Chennah sebelum ditumbangkan Anthony Loke pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Pada PRN Negeri Sembilan semalam, MCA yang mewakili Barisan Nasional bertanding di tujuh kawasan DUN.