Langgar lari- lelaki maut ketika pasang bendera

SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas dikatakan dilanggar lari ketika sedang memasang bendera parti di Jalan Kuala Sawah- Rantau, berhampiran Kampung Belangkan, Rantau, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 6.40 petang itu, mangsa parah pada muka dan kepala sebelum disahkan maut.

“Berlaku satu kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Belangkan, yang dipercayai membabitkan sebuah lori dan seorang pejalan kaki berusia 23 tahun.

“Siasatan awal kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila seorang lelaki berada di bahu kiri jalan arah ke Rantau sedang menjalankan kerja memasang bendera parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambung beliau, secara tiba- tiba sebuah kenderaan dipercayai lori dengan nombor pendaftaran tidak pasti dikatakan melanggar tiang papan tanda dan pejalan kaki itu yang berada di bahu jalan.

“Lori itu dipercayai meninggalkan lokasi
kejadian sejurus kemalangan dan usaha mengesan pemandu terbabit serta saksi masih dijalankan.

“Akibat perlanggaran ini, pejalan kaki dikatakan terjatuh di bahu jalan dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.

Jelas beliau, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau Bilik Gerakan Daerah Seremban (06-6033222) atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Gambar ihsan polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *