Perjuangan MN mahu orang Melayu bersatu tercapai dengan gabungan BN-PAS – Annuar Musa 

PORT DICKSON : Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini dilihat telah  mengembalikan semangat yang diperjuangkan melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perjuangan beliau sejak sekian lama untuk melihat orang Melayu bersatu dan tidak berpecah dalam menentukan kepimpinan negara akhirnya  tercapai.

“Saya hendak turun dari rumah tadi, saya ada banyak topi di atas meja. Saya ada topi PN, topi Pas dan macam-macam lagi, tetapi akhirnya saya ambil topi MN.

“Secara peribadi, semangat saya sudah lama untuk memperjuangkan supaya orang Melayu mesti bersatu, undi Melayu jangan berpecah, orang Melayu mesti menunjangi kepimpinan negara ini dan caranya adalah dengan mendukung semangat MN,” katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Pentadbiran Port Dickson di sini hari ini.

Annuar berkata, beliau sendiri tidak kisah MN dibubarkan selepas ini sekiranya gabungan BN-PN itu dapat meneruskN kerjasama dan yang penting penyatuan tersebut dapat dibentuk.

Jelas beliau, melihat kehadiran penyokong antara kedua-dua gabungan itu yang saling sokong menyokong bagaikan sebuah keluarga membuatkan hatinya cukup tersentuh.

“Tak nak panggil nama MN pun tidak mengapa kerana apabila penyatuan ini berjaya, saya boleh berhenti jadi Presiden MN atau MN dibubarkan.

“Yang penting adalah BN-PN memimpin penyatuan dan perpaduan negara. Sebab itu bagi saya hari ini sangat istimewa dan saya sangat gembira,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan mengerakkan ahli MN di seluruh negara untuk turun ke Negeri Sembilan bagi membantu calon-calon PN dan BN sepanjang tempoh berkempen.

Dalam pada itu, mengenai kempen PRN, Annuar berkata, jawatankuasa penerangan sedang menyusun beberapa program termasuk ceramah bersama membabitkan pemimpin kedua-dua gabungan.

Tambah beliau, antara perancangan yang sedang diatur ialah siri pengenalan calon secara serentak di semua kawasan yang ditandingi diikuti siri memperkenalkan manifesto serta komitmen calon di peringkat kawasan.

“InsyaAllah, tiga hari sebelum hari mengundi kita akan mengadakan ‘grand finale’ dan besar kemungkinan sekiranya dipersetujui pucuk pimpinan, semua pemimpin BN dan PN akan berkongsi pentas untuk menyampaikan amanat kepada para pengundi di Negeri Sembilan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *