Tok Min akui ambil risiko tanding di Linggi, kubu kuat BN

KUALA PILAH: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui mengambil risiko apabila bertanding di kubu kuat BN di Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

“Saya bertanding di Linggi seperti yang sedia maklum Linggi adalah salah satu kubu BN. Mereka menang banyak kali di situ, secara tradisinya mereka menang di situ.

“Jadi saya rasa ini peluang saya untuk memberikan apa yang termampu kepada penduduk di Linggi dan juga pastikan peluang PH untuk berjaya pada pilihan raya kali ini.

“Itu bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN, kita pernah bertanding di situ tetapi kalah. Kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan,” katanya ketika ditemui sejurus Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Majlis yang disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri pimpinan utama parti.

Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Sikamat kerana memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya sejak 2008.

“Kepada pengundi DUN Sikamat, saya ucapkan terima kasih, saya amat terhutang budi kepada mereka. Saya sayang mereka dan saya yakin sokongan mereka kepada PH sejak sekian lama sejak Pakatan Rakyat pada 2008.

“Hingga ke hari ini mereka memberikan sokongan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *