Jentera PH pakai baju merah lawan Gelombang Biru BN

KUALA PILAH – Setiausaha Agung DAP,
Anthony Loke Siew Fook menyarankan semua jentera Pakatan Harapan (PH) bersatu hati dengan hanya memakai baju rasmi gabungan tersebut berwarna merah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, pemakaian seragam tersebut bukan sahaja simbolik penyatuan tiga parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Nasional (Amanah) malah bertujuan menyaingi Gelombang Biru yang sedang dibangkitkan Barisan Nasional (BN).

“Saya cadangkan semasa berkempen kita tak pakai baju biru muda (PKR), oren (Amanah), atau putih (DAP), sebaliknya hanya hanya pakai baju merah.

“Bangkitkan Gelombang Merah. Kalau mereka (Barisan Nasional) hendak bangkitkan Gelombang Biru (di Negeri Sembilan), kita bangkitkan Gelombang Merah,” katanya di Dataran Melang di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pengumuman calon PH bagi PRN Negeri Sembilan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anthony Loke yang akan mempertahankan DUN Chennah berkata, PH perlu melupakan kekalahan teruk dalam PRN Johor pada minggu lalu sebaliknya menumpukan sepenuh tenaga terhadap Negeri Sembilan yang dianggap kubu kubu gabungan parti memerintah itu.

“Malam ini kita mulakan bab baharu. Kita mulakan pusingan kedua. Pusingan pertama di Johor tak berjaya namun begitu tidak ada masa untuk rasa tertewas. Negeri Sembilan adalah ‘homeground’ (kubu kuat) kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *