SEREMBAN : Ahli perniagaan, Albert Tei mengesahkan kesediaannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan, dan kini hanya menunggu keputusan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk diberikan ‘lampu hijau’.
Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiaan Cheing, 37, berkata, hasratnya untuk bertanding telah dimaklumkan kepada kepimpinan parti dengan menyatakan minat untuk dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
“Saya berharap dapat bertanding pada PRN kali ini. Keputusan akan diumumkan oleh pucuk pimpinan dalam masa terdekat dan saya telah menyatakan minat untuk bertanding di DUN Chennah.
“Pimpinan parti telah mengambil maklum perkara itu dan mengarahkan saya supaya sentiasa bersedia walaupun keputusan muktamad masih belum dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Albert bersama hampir 100 penyokong berhimpun berhampiran Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berhubung dakwaan penyaluran dana berjumlah RM180,000.
Albert berkata, semua persiapan menghadapi pilihan raya termasuk pakaian kempen dan bendera telah disediakan, sekali gus membuktikan kesediaannya sekiranya dipilih sebagai calon.
“Setakat ini saya belum dimaklumkan akan mewakili parti komponen yang mana dalam PN, namun jika diberi kepercayaan, saya akan bertanding atas tiket PN,” katanya.
Menurutnya, kehadiran penyokong pada himpunan tersebut memberi gambaran bahawa sokongan terhadapnya di Negeri Sembilan semakin meningkat.
“Saya amat bersyukur kerana ramai yang hadir memberikan sokongan. Kehadiran mereka memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang demi rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Albert berkata, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, beliau mahu memperjuangkan ketelusan dan memastikan setiap dakwaan salah laku disiasat mengikut lunas undang-undang.
“Jika saya menang dan diberi amanah sebagai ADUN, saya akan mendesak kerajaan negeri yang baharu supaya membuka siasatan terhadap semua dakwaan salah laku yang dibangkitkan.
“Itulah perjuangan saya. Saya tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras sebarang penyelewengan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakannya aktif bersuara adalah bagi memperjuangkan perubahan serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja-Raja Melayu dan adat Negeri Sembilan.
“Saya percaya saya antara orang Cina yang berani menyuarakan pendirian mengenai perkara ini. Saya akan terus mempertahankan Perlembagaan, Institusi Raja-Raja Melayu serta adat Negeri Sembilan.
“Sesiapa yang cuba memperlekehkan institusi raja dan adat di negeri ini akan saya tentang habis-habisan,” katanya.