Seremban: Penggunaan Bas.My atau bas merah jambu di seluruh Negeri Sembilan menyaksikan peningkatan sebanyak 100 peratus sejak ia mula diperkenalkan pada 2024.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, ketepatan masa dan beberapa inisiatif yang diperkenalkan membantu meningkatkan jumlah penggunaan bas berkenaan.
“Sejak diperkenalkan pada April 2024, sebanyak 80 Bas.My beroperasi di seluruh Negeri Sembilan yang dikendalikan dua syarikat operator.
“Kami lihat sambutan daripada masyarakat di negeri ini menunjukkan perkembangan yang positif. Pada mula ia diperkenalkan, kira-kira 70,00 orang gunakan bas ini dalam masa sebulan.
“Pada penghujung 2024, bilangan penumpang bertambah kepada 90,000 orang dan kini, jumlahnya meningkat kepada lebih 140,000 penumpang sebulan. Peningkatan sebanyak 100 peratus,” katanya ketika ditemui di Terminal 1, di sini, hari ini.

Beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang berkenaan antaranya adalah inisiatif bas percuma untuk warga emas, pelajar dan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Untuk golongan ini, mereka perlu daftar untuk mendapatkan kad konsesi dengan bayaran sebanyak RM10 dan boleh menggunakan bas secara percuma tanpa had.
“Inisiatif menerusi Kementerian Pengangkutan ini juga memperkenalkan penggunaan MyKad yang mana pengguna biasa perlu menambah nilai RM30 untuk tempoh sebulan dan boleh digunakan tanpa had,” katanya.
