PORT DICKSON: Buaya seberat 300 kilogram (kg) berjaya ditangkap di Kampung Nelayan Kuala Lukut, di sini, tengah hari semalam, selepas kira-kira seminggu diburu.
Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, buaya sepanjang tiga meter itu ditangkap dengan bantuan pelbagai agensi dan orang awam pada jam 1.42 tengah hari semalam.
“Kami menerima aduan mengenai kehadiran buaya ini pada jam 1.20 pagi 23 Jun lalu sebelum ke lokasi untuk menjalankan tinjauan dan memasang perangkap.
“Buaya yang belum dipastikan jantinanya ini berjaya ditangkap pada 1.42 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, reptilia berbahaya itu kemudiannya ditempatkan di fasiliti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor.
“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk ADUN Lukut, Choo Ken Hwa, Pegawai Daerah Port Dickson, Jabatan Bomba dan Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam dan Balai Polis Lukut,” katanya.
Gambar kredit PERHILITAN