
SEREMBAN : Trend penipuan atas talian kini semakin berleluasa dengan pihak sindiket dikesan menjadikan pelajar sekolah dan mahasiswa universiti sebagai ‘keldai akaun’ dengan bayaran upah tertentu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan kepada pelajar untuk menggunakan akaun bank mereka dan sebagai balasan diberikan upahan sekitar RM1,000 hingga RM2,000.
“Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat daripada unsur ancaman digital, kita lihat trend penggunaan ‘keldai akaun’ melibatkan pelajar terutama di universiti semakin ketara.
“Sindiket penipuan dalam talian memerlukan keupayaan untuk mewujudkan lebih banyak ‘keldai akaun’ supaya mangsa yang diperdaya menyalurkan wang ke dalam akaun tersebut sebelum wang itu dikeluarkan,” katanya kepada pemberita pada Program Citra Negara MDN, Sekolah Selamat Daerah Seremban di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini hari ini.
Jelas Saifuddin, pihak sindiket biasanya akan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan memegang beberapa kad ATM untuk mengeluarkan wang secara berterusan.
Beliau berkata, pada tahun lalu kerajaan telah meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) melalui Akta Pindaan 2024 bagi membanteras secara tegas sindiket penipuan dan ‘keldai akaun’ yang mana perbuatan itu satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.
Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu,
sekolah juga mesti selamat daripada unsur ekstremisme dan fahaman berbahaya yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Pihak polis pernah menangkap pelajar yang masih remaja dan bersekolah di Kedah, apabila pihak berkuasa menjalankan pengintipan, kita dapati peranti miliknya penuh dengan maklumat bertemakan keganasan melampau dan kita terpaksa menahannya.
“Saya percaya bahawa sekolah selamat juga harus bebas daripada elemen ekstremisme dan fahaman berbahaya kerana penyebaran kebencian terhadap kaum dan agama lain sangat merugikan masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, penyebaran elemen ekstremisme di sekolah dianggap kes terpencil, namun masih berada di bawah radar polis dan dianggap serius sepergi insiden serangan di Balai PolisnIlu Tiram, Johor pada 2024 yang dilakukan oleh penyerangkan lelaki berusia awal 20-an.
“Apabila kita menggeledah rumahnya, bahan-bahan yang ditemui menunjukkan terdapat pengaruh daripada laman-laman yang menganjurkan keganasan.
“Insiden itu mengorbankan nyawa anggota polis dan juga nyawa penyerang sendiri, selain menyebabkan seluruh keluarganya ditangkap dan dibicarakan,” katanya.