SEREMBAN: Pemasyhuran Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar didakwa tidak sah serta tidak diiktiraf Perlembagaan, undang- undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali turut memaklumkan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang Tunku Nadzaruddin sebelum ini turut dilepaskan.
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah.
“Ia juga tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Oleh itu katanya, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil Tunku Nadzaruddin adalah tidak berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka apabila memasyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Alor Gajah.