Popular Posts

Pengasuh paksa budak duduk di luar, pukul

SEREMBAN: Tular video menyentap kemarahan orang awam yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh memaksa kanak-kanak duduk di luar bahagian belakang rumah, dipercayai di Sendayan, di sini.

Dalam video yang dikongsikan di aplikasi Thread itu, kejadian dipercayai berlaku pada 14 Mei lalu berdasarkan maklumat yang terpapar pada video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman itu turut menunjukkan suara kanak-kanak yang jelas kedengaran menangis dan menjerit kerana diperlakukan dengan kasar.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya meminta pemilik video supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

Jelas beliau, setakat jam 5 petang tadi, pihaknya belum menerima apa-apa laporan berkaitan video yang tular berkenaan.

“Pihak polis sudah mengesan video tular ini petang tadi dan sedang menyemak kejadian ini. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan dibuat oleh mana-mana individu.

“Pihak kami tidak dapat mengenalpasti lokasi sebenar kejadian ini dan di dalam video yang tular hanya menyebut kejadian di Sendayan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, jika lokasi sebenar dapat dikenalpasti, polis boleh membuat laporan sebagai maklumat pertama untuk diambil tindakan lanjut sekiranya tiada laporan dibuat orang awam.

“Kena tahu lokasi sebenar dan polis boleh ke lokasi untuk semak. Namun, jika ini berlaku di kawasan Seremban, kami memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi.

“Polis juga meminta orang ramai atau pemilik rakaman supaya tampil membantu menyalurkan maklumat supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *