Popular Posts

Wanita rugi lebih RM160,000 jadi mangsa skim pelaburan

NILAI: Seorang wanita berusia 40-an mengalami kerugian lebih RM150,000 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi ‘AB Limited’ sejak Mac lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta di Nilai dikatakan mula terjebak selepas berkenalan dengan seorang jejaka dikenali sebagai Chloe Lau.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, mangsa kononnya diberikan pulangan lumayan sehingga mencecah RM300,000, namun wang berkenaan tidak dibenarkan keluar daripada akaun aplikasi berkenaan.

“Kaunter aduan Balai Polis Nilai terima satu aduan daripada seorang wanita warga tempatan berusia awal 40-an mengenai kejadian itu pada jam 6.33 petang semalam.

“Mangsa mendakwa pada 18 Mac lalu, dia berurusan dengan individu yang dikenali dengan nama Chloe Lau melalui laman sosial menawarkan skim pelaburan saham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, pengadu berminat untuk melabur dalam skim itu kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan dan diminta untuk muat turun sebuah aplikasi bernama ‘AB Limited’ ke dalam telefon bimbitnya.

“Pengadu yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Nilai kemudian dikatakan memindahkan wang ke dalam beberapa akaun berjumlah RM163,500.

“Bagaimanapun semalam, pengadu sedari ditipu selepas beberapa kali cuba mengeluarkan keuntungan yang diperolehinya melalui aplikasi AB Limited tetapi tidak berjaya,” katanya.

Johari berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan tangkap suspek.

“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *