
SEREMBAN : Balai Undang Luak Sungei Ujong menangguhkan arahan pengosongan kompaun kediaman rasmi dan balai berkuat kuasa serta-merta atas beberapa alasan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat rasmi oleh Setiausaha Sulit kepada Undang Luak Sungei Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan.
Ahmad Hanafi berkata, terdapat motif tidak jelas dan tiada pencerahan berhubung isu surat pemberitahuan penempatan semula bagi kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong bertarikh 27 April lalu yang dihantar melalui emel sekitar pukul 10 malam di luar waktu bekerja.
Beliau berkata, surat tersebut mengarahkan semua kakitangan supaya melaporkan diri ke Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada pukul 9.30 pagi, 28 April lalu.
Jelas beliau, satu pertemuan diadakan pada hari tersebut dan dihadiri Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin serta Unit Perkhidmatan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Syed Muzaffar Syed Mohamad dengan tujuan pemberitahuan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong.
“Pihak kami seterusnya dimaklumkan Syed Muzaffar bahawa penempatan semula ini lanjutan daripada pelucutan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong di mana arahan yang dikeluarkan berdasarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April lalu.
“Disebabkan itu, pihak kami telah memohon agar surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas DKU bertarikh 17 April lalu di Istana Besar Seri Menanti diserahkan kepada Balai Undang Luak Sungei Ujong bagi tujuan pengesahan,” kata kenyataan surat tersebut.
Bagaimanapun, Ahmad Hanafi mempersoalkan sama ada tindakan tersebut berasaskan kenyataan media Menteri Besar bertarikh 20 April lalu atau dokumen rasmi serta minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu di Istana Besar Seri Menanti.
Beliau turut mendakwa permohonan untuk mendapatkan dokumen rasmi berkenaan tidak dilayan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan arahan yang dikeluarkan.
“Kami memerlukan kepastian bertulis bahawa arahan ini berasaskan asas yang sahih, bukan sekadar makluman lisan atau kenyataan media yang masih dalam pertikaian,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihak balai memaklumkan mereka kini sedang menguruskan krisis melibatkan institusi Undang Luak Sungei Ujong yang memerlukan kehadiran penuh kakitangan bagi memastikan keadaan terkawal.
Jelas beliau, pengosongan premis secara tergesa-gesa tanpa kejelasan boleh menjejaskan usaha pemulihan serta berisiko mencetuskan kekecohan dan pertelingkahan awam.
“Berdasarkan perkara-perkara di atas, kami sekali lagi memohon dibekalkan surat rasmi pelucutan dan minit mesyuarat bertarikh 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti pada kadar segera,” ujar beliau.
Terdahulu, kerajaan negeri mengarahkan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuatkuasa serta-merta.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan merujuk kepada keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April lalu.